Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail memerlukan tempoh selewat-lewatnya esok bagi memuktamadkan nasib Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Badan induk berbasikal negara itu berdepan penggantungan sekiranya didapati bersalah selepas meneliti jawapan terhadap surat tunjuk sebab yang dikemukakan sebelum ini.

Ahmad Shapawi berkata, terdapat beberapa maklumat terkini yang perlu disiasatnya sebelum mengumumkan tindakan terhadap badan sukan berbasikal negara itu.

"Selewat-lewatnya pada Jumaat (esok). Terdapat beberapa maklumat terkini yang didapati serta perlu disiasat," katanya semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin berkata, keputusan berhubung nasib PKBM hanya akan diumumkan Ahmad Shapawi.

PKBM sebelum ini diberikan surat tunjuk sebab selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendapati terdapat kelemahan serius terhadap peruntukan yang disalurkan pada 2011 hingga tahun lalu selepas audit dijalankan.

Audit berkenaan dijalankan selepas kegagalan berterusan pelumba lebuh raya negara, terutamanya selepas insiden pengguguran saat akhir pelumba Mohd Zamri Salleh dan kegagalan menamatkan kemarau pingat emas sejak 2005 di Sukan SEA Myanmar tahun lalu.

Andai digantung, PKBM mempunyai tempoh sehingga 30 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri Belia dan Sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:01 AM