Putrajaya: Terdapat nada positif daripada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung nasib Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Khairy menjelaskan badan induk berbasikal negara berkenaan berjaya menjelaskan banyak persoalan yang timbul sebelum ini.

“Mereka mampu membetulkan sejumlah kesalahan. Namun, penting untuk saya melihatnya sekali lagi bagi memastikan tiada isu berbangkit dan memastikan mereka membetulkannya seperti dikehendaki,” katanya.

Tambahnya, beliau akan membuat keputusan berdasarkan jawapan diberikan PKBM itu.

Pesuruhjaya Sukan pada Oktober tahun lalu membuat keputusan menggantung pendaftaran PKBM selama sebulan selepas gagal memberikan jawapan munasabah terhadap surat tunjuk sebab dikenakan kepada mereka.

Susulan itu, PKBM disyaratkan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap salah amalan dan kegagalan mematuhi peraturan membabitkan pentadbiran mereka dalam tempoh sebulan.

Kemelut membabitkan PKBM bermula selepas kegagalan berterusan skuad lebuh raya negara di temasya Sukan SEA walaupun menerima peruntukan bernilai jutaan ringgit yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan.

Situasi itu menyebabkan Khairy mengarahkan jabatan unit audit dalaman menjalankan siasatan ke atas PKBM bagi mengetahui bagaimana peruntukan berkenaan dibelanjakan bagi 2011 hingga 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 7:37 AM