ROZI ketika menerima rawatan di Hospital Kajang.
ROZI ketika menerima rawatan di Hospital Kajang.
Oleh Aida Adilah Mat

Putrajaya: Keputusan hasil siasatan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat kes kemalangan membabitkan pelumba negara Nur Rozi Yanti Mat Rodzi akan diketahui selewat-lewatnya minggu depan.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad memaklumkan jawatankuasa siasatan bermesyuarat Jumaat lalu dengan semua pihak terbabit sudah memberikan keterangan.

Namun, sebelum sebarang keputusan dilakukan, panel jawatankuasa siasatan itu terlebih dulu perlu bertemu dengan Rozi dan hingga semalam belum ada sebarang pertemuan dilakukan.

“Siasatan sudah dijalankan. Sebelum membuat keputusan barisan panel itu akan berjumpa dengan Rozi terlebih dulu dan hanya perkara itu yang tertangguh.

“Bagaimanapun, sebelum sebarang keputusan diumumkan, hasil siasatan itu akan dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk dinilai,” katanya.

Pelumba kelahiran Perlis itu terbabit dalam kemalangan di KM19, Lebuhraya SILK Kajang ketika menjalani latihan bersama pelumba lain pada 5 September lalu, jam 9.45 pagi.

Laporan awal polis sebelum ini menyebut Rozi terjatuh daripada basikalnya ketika membetulkan kedudukan kakinya yang kebas sebelum dilanggar van pengiring.

Rozi kini dipindahkan ke Hospital KPJ Damansara dari Hospital Kajang pada 13 September lalu bagi mendapatkan rawatan pakar tulang dan otot dengan doktor masih lagi memantau keadaan paru-paru.

Naim yang ditemui di majlis pelancaran ASEAN Cycle Fest 2015 berkata, hasil siasatan itu turut mencakupi cadangan mengenai cara terbaik untuk memperbaiki dan memperhalusi langkah terbaik yang boleh diambil bagi memastikan keselamatan pelumba dan pegawai berlatih di lebuh raya.

Katanya, hasil siasatan itu perlu dimandatkan dengan segera supaya pelumba boleh kembali berlatih seperti biasa selepas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengeluarkan arahan supaya segala aktiviti luar dihentikan sehingga siasatan selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 8:46 AM