Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: 'Kemenangan' tidak menyebelahi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) apabila Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail (gambar) semalam memutuskan menggantung pendaftaran badan induk berbasikal berkenaan selama 30 hari selain mengarahkan mesyuarat agung serta pemilihan jawatankuasa induk baru.

Selaras dengan penggantungan itu, PKBM disyaratkan untuk mencari remedi salah amalan dan kegagalan mereka terhadap ketidakaturan pentadbiran dalam tempoh itu, berkuat kuasa semalam atau berdepan tindakan pembatalan seperti diperuntukkan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997.

"Selepas membuat penelitian terhadap jawapan surat tunjuk sebab, PKBM gagal menjawab dengan jelas pertuduhan dikenakan dan tiada tindakan pembetulan dilakukan mereka ke atas laporan audit yang dijalankan Unit Audit Dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Selain mengambil kira syor dikemukakan Panel Penasihat Sukan, penggantungan pendaftaran ini dibuat di bawah subseksyen 20(1 ) (e) Akta Pembangunan Sukan 1997 atas alasan badan sukan itu menghindarkan aspek pembangunan dan demi kepentingan awam pendaftarannya patut digantung," kata Ahmad Shapawi.

Menjelaskan lebih lanjut Ahmad Shapawi berkata, PKBM gagal membetulkan masalah yang berlaku walaupun sudah dimaklumkan Unit Audit Dalaman, Panel Penasihat Sukan dan akhir sekali menerusi surat tunjuk sebab.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:38 AM