Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan terdapat keperluan membayar RM500,000 seperti diminta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang didakwa baki peruntukan program pembangunan lebuh raya bagi tahun lalu.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, PKBM perlu memahami peruntukan itu tertakluk kepada kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang disalurkan untuk program pembangunan pasukan lebuh raya seiring penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL).

“Kelulusan peruntukan itu perlu diperoleh terlebih dulu daripada KBS dan malangnya pihak KBS tidak bersetuju kerana sepanjang tahun lalu PKBM masih dalam siasatan dan tindakan audit menyaksikan mere ka digantung Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

“Salah satu isu pengauditan dikenakan terhadap PKBM adalah ekoran aduan pelumba lebuh raya dari segi pengurusan latihan pasukan yang menimbulkan keraguan dalam aspek tadbir urus kewangan.

“Memang terdapat peruntukan disediakan apabila penganjuran LTdL dilakukan namun jumlahnya bergantung kepada program pembangunan yang mereka ingin laksanakan. Maksudnya program persediaan atlet untuk menghadapi kejohanan itu, bukannya kejohanan dan perbelanjaan lain.

“Ia bukanlah jumlah tetap RM1.5 juta setiap tahun kerana bergantung kepada program yang mereka ingin laksanakan,” jelas Ahmad Shapawi.

Memburukkan keadaan, PKBM menggunakan peruntukan hadiah kemenangan LTdL edisi 2014 menyebabkan pasukan yang menang pada kejohanan itu tidak menerima bayaran untuk tempoh hampir setahun.

Ini memaksa KBS melalui MSN menggunakan peruntukan pembangunan lebuh raya untuk membayar pasukan berkenaan bagi mengelakkan keengganan mereka beraksi semula di LTdL 2015. Jumlah hadiah kemenangan bagi edisi 2014 melebihi RM900,000.

Arena Metro semalam melaporkan PKBM berharap MSN dapat mempertimbangkan wang peruntukan kira-kira RM500,000, iaitu baki daripada peruntukan program pembangunan sempena penganjuran LTdL 2014 bagi membolehkan mereka melaksanakan program pembangunan sukan berkenaan.

“Mereka perlu faham, peruntukan berkenaan tertakluk kepada kelulusan dan mereka tidak boleh mengandaikan RM1.5 juta akan diperoleh setiap tahun. Malah untuk tahun 2014 dan 2015, tiada peruntukan diluluskan kepada mereka susulan sedang diaudit Kementerian Belia dan Sukan.

“PKBM perlu ingat salah satu punca mereka diaudit adalah kerana pengurusan kewangan program atlet dan persatuan yang teruk menyebabkan pelumba mengadu kepada KBS. Peluang kedua harus dimanfaatkan untuk menambah-baik tadbir urus badan sukan itu agar tidak terjebak dengan situasi sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 9:39 AM