Seorang teman SS mengadu bengang sikap seorang artis yang berlagak tidak bertempat. Malah, apabila ditemu bual artis itu juga menampilkan tingkah laku dingin.

Kata teman SS, dia yang hadir pada satu majlis hiburan baru-baru ini berkesempatan bersua dengan seorang artis popular. Menyedari artis itu memiliki ramai peminat, teman SS teruja untuk berbual dengannya.

Sayangnya hanya teman SS saja yang teruja seorang untuk menemu bual artis itu, manakala daripada pihak artis terbabit langsung tidak pandang sebelah mata.

Apabila teman SS mengajukan beberapa soalan kepadanya, dengan riak muka yang berlagak dan kurang selesa, artis itu sekadar menjawab acuh tidak acuh.

SS yang mendengar cerita disampaikan teman itu sangat bersimpati dengannya. Bukan apa, SS pun pernah berkesempatan bersua artis ini dan menemubualnya, tidak pula dia bersikap biadab seperti itu.

Bahkan, setiap soalan dijawabnya dengan penuh berhemah dan boleh ketawa lagi. Barangkali, ketika teman SS bertemu artis itu emosinya kurang stabil.

Biasalah, kalau artis popular sudah pasti banyak tawaran kerja. Jadi, berkemungkinan kurang rehat juga membuatkan emosi artis itu tak dapat dikawal dengan baik.

Apapun, sebagai artis popular dan profesional sepatutnya artis itu bijak mengawal emosi yang terganggu. Bukan melayan orang dengan menonjolkan sikap biadab.

SS: Tahniah juga kepada Syuk (SYJ) sudah selamat menjadi tunangan orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 11:27 AM