Hujung minggu SS selalunya dihabiskan di rumah, tapi sesekali ada juga yang ‘mengganggu’. Kalau cerita menarik, SS layankan saja.

Kalau sekadar suam-suam kuku, SS akan berfikir dua kali. Macam cerita yang SS nak sampaikan ini, agak ‘hot’ jugalah. Bukan apa, kalau teman SS ni yang bercerita, SS tak pernah sangsi.

Kata teman SS itu, baru-baru ini dia mendapat tahu seorang artis wanita sanggup tebalkan muka berjumpa seterunya.

Seterunya itu juga adalah pelakon popular. Kalau SS sebutkan nama mereka berdua, pasti satu negara tahu. Tapi biarlah SS dan teman SS saja yang tahu siapa mereka.

Ketika kejadian itu, mereka berada di tempat sama. Disebabkan sudah sekian lama tidak bersua muka dan bertegur sapa, artis wanita popular itu buat tak tahu sahaja. Bukan apa, sengketa yang wujud itu pun berpunca daripada si artis wanita tadi.

Sepanjang berada di situ, artis wanita yang kurang popular itu dengan kerap memerhati artis wanita popular berkenaan. Mulanya dia tidak perasan, tapi rakan yang menemaninya di situ memberitahu hal itu.

Apabila masing-masing hendak beredar, tanpa disangka artis wanita kurang poular itu datang dan terus memeluk si artis wanita popular tadi. Bercucuran air matanya sambil meminta maaf di atas kesalahan yang pernah dia lakukan.

Reaksi spontan itu membuatkan artis wanita popular tadi terdiam. Satu persatu kesalahan yang pernah dibuat diceritakan semula. Apa pun, sebagai manusia biasa artis wanita popular itu hanya mampu memaafkan selebihnya biar Allah yang tentukan.

SS: Harap-harap permohonan maaf itu ikhlas dan bukan drama semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 1:23 PM