Jika nak diikutkan artis lelaki yang seorang ini tak sepopular manapun dalam bidang hiburan tanah air. Namanya naik pun selepas beraksi dalam satu drama yang bersiaran di kaca televisyen tidak lama dulu.

Namun, kata rakan SS, ramai yang tidak suka dan bengang dengan sikap artis ini yang sombong dan berlagak diva mengalahkan artis popular sejak kebelakangan ini.

Dia bukan saja bersikap dingin dengan pihak media, setiap kali diajukan soalan, jawapannya juga seperti acuh tak acuh saja. Kata rakan SS, artis itu mula berubah sikap dan berlagak sombong tidak tentu fasal sejak bercinta dengan teman wanitanya yang kaya raya. Khabarnya, mereka juga bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Sebab itu, kata rakan SS, artis itu mula buat perangai dan seolah-olah melarikan diri dari pihak media kerana dia tidak suka diajukan soalan berbaur peribadi. Apatah lagi, jika ada soalan yang bertanyakan kenapa dia memilih wanita kaya itu sebagai calon isterinya.

Mungkin dia bimbang, jika ada pihak yang mendakwa dia lelaki mata duitan kerana memilih wanita kaya itu sebagai bakal teman hidupnya. Bagi SS pula, artis itu sepatutnya tidak melarikan diri dari pihak media untuk mengelak dari berkongsi cerita mengenai bakal isterinya itu. Sebagai selebriti, dia sepatutnya bersikap profesional apabila berurusan dengan pihak media yang menjalankan tugas mereka.

SS: Tidak memandang pada harta dan pangkat!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 5:01 AM