London: Bintang Tottenham Hotspur Harry Kane menganggap segala persembahan baik mereka di permulaan aksi, musnah apabila John Terry menghasilkan gol pertama Chelsea untuk muncul juara Piala Liga menerusi kemenangan 2-0 di Wembley, semalam.

Sepuluh minit memasuki babak kedua, rembatan Terry terkena Kyle Walker dan membuatkan penjaga gol Hugo Lloris gagal mengagak arah sebenar bola.

“Kami melawan hingga tamat permainan tapi tidak beroleh apa-apa. Kami tewas 2-0 dan terpaksa berputih mata melihat Chelsea menjulang piala dan ia sangat mengecewakan saya.

“Perasaan kecewa ini tidak boleh saya lupakan apatah lagi kami tewas di final,” kata Harry yang beraksi di samping Nabil Bentaleb, Ryan Mason, Danny Rose serta Andros Townsend.

“Apabila melihat Chelsea merayakan kejayaan itu, kemenangan mereka seolah-olah membakar dada saya. Tapi ia membuatkan saya berazam mahu kembali ke Wembley dan menjulang piala pada masa akan datang.

“Saya harap kami mampu melakukannya musim depan.”

Cubaan Kane pada awal permainan diselamatkan Petr Cech dan peluang terbaiknya pula hampir menghasilkan jaringan tetapi bola yang hampir melepasi garisan gol dikeluarkan Terry.

“Kami sudah memberikan yang terbaik sepanjang perlawanan ini,” katanya. “Saya rasa kami bermain baik tapi ada masanya anda tidak dibantu nasib dan saya rasa Chelsea lebih bernasib baik apabila menghasilkan dua gol yang mengelirukan penjaga gawang kami gara-gara terkena bahagian tubuh seseorang.

“Inilah bola sepak dan ia akan menjadi pelajaran. Kami akan lebih gagah selepas ini.”

Sementara itu, jurulatih Spurs Mauricio Pochettino berkata, belia bangga dengan persembahan anak buahnya termasuk pemain muda seperti Kane, Eric Dier serta Bentaleb.

“Bagi kami, banyak perkara positif yang boleh dipelajari. Kami mempunyai skuad muda yang bagus. Hari ini, purata umur pemain kami 23 tahun dan kebanyakan mereka beraksi pada final pertama.

“Kami berada di landasan tepat. Sudah pasti kami akan mengharungi lebih banyak aksi final pada masa akan datang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:32 AM