Florence, Itali: Jaringan Mario Gomez dan Mohamed Salah membawa Fiorentina ke pusingan ketiga Liga Europa, malam tadi apabila menewaskan Tottenham 2-0 untuk agregat 3-1.

Gomez menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-54 apabila merembat masuk bola yang gagal dikawal pemain pertahanan, Fazio di bahagian tengah padang.

Sebaik mendapat bola, dia meluru ke gawang Tottenham sambil meninggalkan Fazio dan Jan Vertonghen yang cuba mengejarnya.

Sewaktu penjaga gol Hugo Lloris keluar dari kawasan gawang, pemain Jerman itu tenang memanfaatkan peluang dengan rembatan kencang ke kiri gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol Perancis itu.

Pengendali Tottenham Mauricio Pochettino membuat dua pertukaran ketika ketinggalan 0-1 dengan menurunkan penyerang Harry Kane dan Andros Townsend untuk menggantikan pemain sayap, Nacer Chadli dan Nabil Bentaleb.

Bagaimanapun Fiorentina meledak gol kedua, mendedahkan kepincangan di bahagian pertahanan Spurs.

Salah yang dibawa masuk dari Chelsea, berjaya melepasi Fazio dan Vertonghen dengan larian pantas, menyaksikannya berada di kawasan gol pada minit ke-70, sebelum merembat ke sudut atas gawang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:16 AM