Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak rugi dengan ketiadaan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai penasihat badan induk itu.

Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail (gambar) berkata, ini kerana Tunku Ismail sudah acap kali tidak berpuas hati terhadap kebanyakan keputusan dibuat FAM.

“Saya berpendapat FAM seharusnya bersyukur bukan menangis apabila Tunku Ismail meninggalkan badan induk bola sepak negara itu.

“Jika ada di dalam FAM hanya untuk mengkritik, lebih baik tidak payah,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, individu yang bersikap profesional tidak akan bertindak mengkritik FAM secara melulu tanpa memikirkan imej badan induk bola sepak itu hanya kerana kepentingan peribadi.

Katanya, kritikan terhadap FAM boleh dibuat tetapi perlu dilakukan mengikut saluran betul dan bukan secara terbuka menerusi media.

Menurutnya, tindakan itu seolah-olah cuba mengaibkan barisan kepimpinan badan induk bola sepak itu.

“Saya tidak menafikan FAM sebelum ini ada melakukan beberapa kesilapan tapi dengan kerjasama jawatankuasa dan ahli gabungan, masalah yang timbul itu dapat diatasi secara profesional.

“Saya berpendapat sekiranya Tunku Ismail melihat FAM kini tidak profesional dan gagal menjalankan tugas, beliau sepatutnya menyuarakan pendapat dan memberi idea bernas kepada FAM, bukan sekadar mengkritik.

“Sifat manusia ada kelemahannya termasuk barisan kepimpinan FAM yang semuanya setia memikul tugas berpandukan peraturan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.

Jamal Nasir yang kini terbabit dengan program pembangunan bola sepak di Pahang berkata, sekiranya FAM lemah dalam menguruskan sukan itu, Tunku Ismail boleh cuba membawa pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bersaing di Liga Singapura atau Liga Indonesia.

Menurutnya, mungkin liga di negara jiran itu lebih sempurna dan mampu memberi kepuasan kepada Tunku Ismail yang berjaya membawa pasukan Johor DT muncul juara Liga Super musim lalu.

“Saya bukan berniat menyebelahi mana-mana pihak tapi saya berhak menyuarakan pendapat.

“Saya berharap Tunku Ismail termasuk bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh dan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dapat duduk semeja berbincang mencari formula terbaik untuk memajukan lagi FAM bukannya terlalu lantang mengkritik FAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Februari 2015 @ 6:48 AM