Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Tindakan drastik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatan selaku Penasihat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dianggap tepat.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT) Azman Jalil berkata, tindakan Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) tidak lagi mahu membabitkan diri dalam badan induk itu membuktikan betapa beliau hanya mahu bekerja dengan organisasi yang telus dan profesional demi memajukan bola sepak.

“Sepatutnya FAM sebagai badan induk perlu bertimbang rasa dengan jadual padat Liga Super dan saingan Piala AFC yang perlu diharungi Johor DT (Johor Darul Ta’zim), tapi lain pula ceritanya apabila permohonan untuk menunda perlawanan ditolak.

“Apa yang dikatakan Tunku Ismail memang ada benarnya, sebuah organisasi perlu dikendalikan orang yang berdedikasi, profesional dan berpengetahuan mengenai bola sepak, bukannya ditadbir mereka berkepentingan peribadi serta politik.

“Jika FAM masih di takuk lama dan enggan mendengar pendapat orang lain, maka bola sepak negara ini tidak akan ke mana, jangan sampai penyokong muak dan benci untuk hadir menyaksikan perlawanan, tidak kira liga atau antarabangsa.

“Saya berharap Tunku Ismail terus bersemangat untuk membuktikan kepada FAM yang PBNJ mampu menguruskan pembangunan bola sepak lebih tersusun dan profesional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:28 AM