LOKASI kejadian papan pelapik besi runtuh. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
LOKASI kejadian papan pelapik besi runtuh. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Polis akan mengambil keterangan kontraktor dan majikan kepada empat buruh binaan warga Indonesia yang dua daripadanya kritikal dan dua lagi parah selepas terjatuh dari papan besi perancah di tapak pembinaan bangunan tambahan Hospital Pakar Seremban (KPJ Seremban), Kemayan Square, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima laporan majikan buruh asing itu berhubung kejadian dan siasatan dibuat berdasarkan laporan awam.

Katanya, pihaknya mempercayai majikan dan kontraktor itu seolah-olah menyembunyikan sesuatu sehinggakan laporan polis tidak diterimanya.

"Kami akan mengambil keterangan daripada majikan dan kontraktor terbabit bagi menyiasat kejadian sebenar," katanya.

Menurutnya, selain itu pihaknya juga akan mendapatkan maklumat daripada pihak bomba berhubung insiden itu.

Harian Metro online semalam melaporkan dua buruh warga Indonesia kritikal dan dua lagi parah selepas terjatuh dari papan besi perancah di tapak pembinaan itu.

Dalam kejadian jam 5.15 petang terbabit, semua mangsa sedang bekerja sebelum tiba-tiba papan pelapik besi perancah runtuh menyebabkan semua mangsa terjatuh dan cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Februari 2015 @ 3:12 PM