Oleh Meor Riduwan Meor

Seremban: Dua buruh binaan warga Indonesia kritikal manakala dua lagi parah selepas mereka terjatuh berikutan struktur perancah runtuh di tapak pembinaan bangunan tambahan Hospital Pakar Seremban (KPJ Seremban) di Kemayan Square, di sini, 5.15 petang, hari ini.

Difahamkan, semua mangsa terbabit sedang bekerja di atas pelantar yang disokong perancah besi terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Muktar, berkata sepasukan 14 pegawai dan anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikejarkan ke lokasi berkenaan.

Beliau berkata, sejurus tiba semua mangsa sudah diselamatkan tetapi dua daripadanya dihantar ke di Hospital Tuanku Ja'afar kerana kritikal manakala dua yang parah dirawat di Hospital Pakar Seremban.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian, kami (bomba) mendapati terdapat kesan runtuhan kecil pada bahagian papan pelapik perancah besi terbabit," katanya ditemui di lokasi.

Ahmad Mukhlis berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 9:50 PM