Muhammad Apendy Issahak


TAPAK projek pembinaan 11 blok pangsapuri di Klebang Restu di Ipoh, diarah menghentikan operasi serta-merta, hari ini, susulan kejadian kematian seorang pekerja di tapak berkenaan yang terjatuh ketika melakukan kerja dalam sebuah tangki kumbahan najis.

Dalam kejadian 3.50 petang semalam, seorang pekerja lelaki warga Bangladesh maut di tapak pembinaan terbabit selepas dipercayai terjatuh dari perancah setinggi kira-kira enam meter di dalam tangki kumbahan berkenaan.

Mangsa, Mia Md Ripon, 34, dikatakan hilang imbangan semasa berada di atas perancah ketika melakukan kerja membuka acuan tangki terbabit sebelum terjatuh ke lantai konkrit.

Susulan itu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak yang dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak kontraktor membuat pemeriksaan dan siasatan di lokasi kejadian.

Pemeriksaan dilakukan Pengarahnya, Ir Zamzurin Maarof bersama beberapa pegawai ke tapak pembinaan terbabit mendapati kontraktor projek berkenaan sebelum ini sudah diberi notis larangan dan pembaikan pada Januari lalu.

“Semakan mendapati sebanyak 52 notis sudah dikeluarkan ketika pemeriksaan yang dijalankan JKKP pada 17 Januari lalu membabitkan 39 notis larangan dan 13 notis pembaikan.

TAPAK projek. FOTO Muhammad Apendy Issahak
TAPAK projek. FOTO Muhammad Apendy Issahak

“Pemeriksaan hari ini juga mendapati aspek keselamatan kurang memuaskan dan susulan kemalangan maut membabitkan seorang pekerja warga Bangladesh semalam, kita mengambil langkah menutup tapak pembinaan ini sehingga pihak kontraktor mematuhi dan memperbaiki semua notis yang dikenakan sebelum ini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, bagi kes kematian, pekerja warga asing itu pula pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian sama ada berlaku perlanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 atau Akta Kilang dan Jentera 1967.

“Siasatan awal, mangsa dikatakan terjatuh ketika sedang bekerja di tempat tinggi, namun kita sedang membuat siasatan lanjut dan jika terdapat kesalahan pihak kontraktor akan didakwa di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan sekerja dan senegara mangsa yang ditemui di lokasi kejadian memberitahu mangsa baharu datang ke Malaysia kira-kira tujuh bulan lalu serta dua bulan bekerja di tapak pembinaan terbabit.

Menurutnya, mangsa mempunyai empat anak yang masih kecil di kampung halamannya dan proses dokumentasi sedang dilakukan bagi membolehkan jenazah mangsa dihantar pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 1:39 PM