Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) meminta satu jawatankuasa khas ditubuhkan segera bagi mengkaji punca berlakunya kemalangan di tapak pembinaan seluruh negara.

Presidennya Mohammad Hisham Shafie berkata, ia bagi memberi laluan kepada pemeriksaan lanjutan dilakukan susulan beberapa kejadian membabitkan kawasan pembinaan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Katanya, tahap keselamatan di kawasan seperti itu perlu diberi keutamaan kerana ia membabitkan nyawa orang ramai termasuk pengguna jalan raya.

"Belum pun habis isu dua maut sebelum ini, hari ini kita berdepan tragedi baru pula.

"Kita dimaklumkan, ia membabitkan kontraktor dari luar, jadi PPJK berharap, kerja-kerja di tapak dihentikan sementara pemeriksaan dan siasatan menyeluruh mengenai tahap keselamatan dilakukan," katanya.

Mohammad Hisham berkata, syarikat pembinaan juga perlu menghentikan sementara kerja yang sedang berjalan di seluruh negara.

Beliau mengulas kejadian kren tumbang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) Alam Damai Cheras hari ini yang menyebabkan tiga pekerja warga China meninggal dunia hari ini.

Menurutnya, dengan adanya jawatankuasa itu, ia akan memberi gambaran menyeluruh mengenai apa yang berlaku agar tindakan susulan dapat diambil.

Katanya, walaupun Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi, namun ia tetap berisiko terutamanya jika projek dijalankan berhampiran jalan utama.

Sebelum ini pemandu treler merempuh perancah besi di projek pembinaan SUKE di Desa Tun Razak mengakibatkan dua maut selepas runtuhan menghempap van pekerja.

LAPORAN portal MyMetro
LAPORAN portal MyMetro

Berita berkaitan

Struktur besi kren terjatuh hempap kereta

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 11:47 AM