ARSENAL (jersi merah) bakal berdepan United pada suku akhir.
ARSENAL (jersi merah) bakal berdepan United pada suku akhir.

London: Penyandang juara Piala FA, Arsenal berdepan pertembungan menarik menentang Manchester United selepas undian suku akhir, awal pagi semalam.

Undian itu berlangsung sebaik sebelum sepak mula perlawanan pusingan kelima United di Preston, dengan Gunners berkunjung sama ada ke Old Trafford atau Deepdale bagi pertemuan suku akhir.

United menang 3-1 dengan kebangkitan pada babak kedua memastikan mereka berdepan anak buah Arsene Wenger pada Piala FA buat kali pertama sejak 2011 apabila United menang 2-0 pada suku akhir.

Arsenal mengalahkan Hull pada final Piala FA tahun lalu untuk menamatkan kemarau trofi sembilan tahun, selepas kali terakhir menewaskan United pada final Piala FA 2005.

Dalam undian dikendalikan pengurus England Roy Hodgson dan Brian Finney, anak lelaki mendiang legenda sayap Preston, Tom Finney, pasukan penuh kejutan Bradford berdepan kelab divisyen dua Reading di laman sendiri ketika mereka mengintai peluang mara ke separuh akhir bagi melengkapkan kemaraan bergaya selepas menang 4-2 ke atas pendahulu Liga Perdana, Chelsea pada pusingan keempat diikuti mengatasi Sunderland, 2-0 pada pusingan kelima, Ahad lalu.

Undian itu memastikan sekurang-kurangnya satu pasukan Liga Bolasepak akan mara ke separuh akhir pertandingan itu.

Harapan Liverpool memberikan Steven Gerrard penamat bergaya di Wembley pada hari jadi ke-35 semakin cerah apabila mereka diundi menentang kelab Liga Kejuaraan, Blackburn di Anfield.

Kapten Reds Gerrard bersetuju meninggalkan Liverpool untuk menyertai Los Angeles Galaxy hujung musim ini, menjadikan final Piala FA sebagai potensi perlawanan terakhir buatnya bersama kelab itu sejak beraksi pada 1998.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:06 AM