Seorang pelajar  yang berusia 17 tahun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Seorang pelajar yang berusia 17 tahun tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Pelajar lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan merogol dan meliwat kekasihnya dalam kejadian September 2023 dan Mac lalu.

Pengakuan itu dibuatnya di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa merogol remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah kosong di sini, antara 8 malam hingga 10 malam, 29 September 2023.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan.

Bagi pertuduhan kedua, remaja itu didakwa meliwat mangsa di lokasi sama pada 2 petang, 9 Mac 2024, dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman.

Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM7,000 kepada tertuduh, namun Nik Nazriani memohon jaminan yang rendah, memandangkan tertuduh masih belajar dan di bawah umur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan

Sebutan semula kes ditetapkan 7 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 3:31 PM