Baru-baru ini, seorang teman meluahkan perasaan kecewanya terhadap sikap seorang artis yang berasakan diri cukup popular hingga enggan digandingkan dengan selebriti lain.

Kata teman itu, dia bercadang mahu menggandingkan artis itu bersama bintang baru untuk satu sesi fotografi. Tetapi, dengan pantas artis itu menolak.

Bahkan, artis itu turut berkasar dengan teman SS. Bukan saja dia memarahi rakan SS, tetapi bahasa digunakan juga agak kesat.

SS yang mendengar cerita disampaikan teman itu hanya bersimpati. Namun, SS tak sangka artis yang perwatakan diri dilihat sopan dan beradab selama ini memiliki sikap sebaliknya.

Menurut teman SS lagi, artis itu turut mempersoalkan kenapa dirinya perlu digandingkan dengan bintang baru dalam industri.

Apatah lagi, nama bintang baru yang dimaklukan teman SS kepada artis itu diakuinya tidak kenal pun dan belum sempat bekerjasama.

SS geli hati juga mendengar cerita teman SS itu, bukan apa kalau bintang baru pun artis terbabit tidak kenal, rasa-rasanya ramaikah peminat yang mengenali dirinya.

Apapun, biasalah kalau namanya manusia memang banyak ragam hingga ada kalanya sukar difahami. Apapun, dalam hidup ini bukankah lebih bagus kalau tidak bersikap meninggi diri.

Ini belum lagi artis itu menggenggam anugerah. SS tak dapat bayangkan jika artis itu menang trofi anugerah pasti dia akan lebih bersikap hidung tinggi.

SS: Hidup jangan terlalu mendongak ke langit, bila terjatuh buruk padahnya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 10:24 AM