Melihatkan penampilan artis wanita ini yang semakin sopan, SS tumpang gembira dengan perubahan dirinya. Namun, sikap manusia memang sukar diramal.

Baru-baru ini, dalam satu majlis hiburan, SS agak terkejut apabila seorang teman bercerita mengenai sikap artis itu terhadap suami dan ibunya.

Kata teman itu, apa yang pernah dilihat berlaku di hadapan matanya memang takkan dilupa hingga ke akhir hayat.

Kata teman itu lagi, artis wanita ini kalau berbicara lebih-lebih lagi bersama wakil media memang lembut gigi daripada lidah. Namun, realiti sebenar dirinya tidak begitu.

Cerita teman itu, dia pernah melihat bagaimana cara artis berkenaan melayan suami dan ibunya. Artis itu lebih bersikap dominan kerana dia bertindak sebagai pemberi arahan.

Apa saja barangan seperti pakaian atau mainan anaknya pasti suami atau ibunya yang menjadi orang suruhan manakala dia hanya duduk bersembang dan beri arahan dengan menunjuk-nunjuk saja.

SS yang mendengar cerita artis ini pada mulanya sukar untuk mempercayainya. Namun, memandangkan ia kisah realiti yang berlaku depan mata seorang teman, SS terpaksa akur.

Pada SS, tidak wajar artis itu bertindak sedemikian. Daripada asyik menyuruh orang, lebih baik kalau dia yang bersikap ringan tulang.

Apapun, macam SS kata, sikap manusia sukar diduga. Jadi, tepuk dada dan tanyalah selera. Jika benar apa dilakukan artis itu, SS harap dia sedar suatu hari nanti.

SS: Muak dengan sikap berpura-pura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:00 AM