Kalau dulu, destinasi percutian artis ini dengarnya sekitar negara jiran saja. Tetapi, sekarang SS dapat tahu artis itu memilih destinasi lebih menarik dan jauh penerbangannya hingga ke negara Eropah dan Amerika.

Bahkan, sekarang ini pun mengikut cerita disampaikan seorang teman SS, artis itu masih lagi bercuti di luar negara bersama teman-temannya.

Amboi, banyaknya simpanan artis itu hingga bercuti sakan dan rasa-rasanya sudah berminggu-minggu juga dia di luar negara. Daripada apa yang diceritakan teman SS, artis itu membawa diri hingga ke luar negara kerana baru putus kasih.

De­ngan siapa dia berkasih dan bila pula kejadian putus cinta itu tidak pula dimaklumkan teman SS. Hanya kata teman itu, artis berkenaan dalam mood seronok bercuti. Bahkan kata teman SS lagi dari berkelana di bumi Eropah, artis itu meneruskan percutiannya hingga ke Amerika pula.

Wah seronok SS mendengar cerita percutian artis itu. Bahkan, kata teman SS artis itu juga membeli belah sakan untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti. Apapun, SS berasakan percutian artis itu mungkin mahu dijadikannya sebagai terapi diri selepas kasih terputus di tengah jalan.

Ditambah pula, mungkin sekarang artis itu ada kelapangan dan masa yang panjang. Jadi, lebih baik dia bercuti dan menghilangkan segala tekanan.

Nanti, apabila masuk tahun baru, terus saja dia buka lembaran baru dalam kehidupannya dan juga karier. Lagi pun, patah tumbuh hilang berganti. Setakat putus cinta, tak perlu pun bersedih lama-lama.

SS: Tiba-tiba teringat keindahan pemandangan di Menara Eiffel, Paris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 5:01 AM