TIDAK mensia-siakan ilmu dipelajari dengan turut serta dalam program sukarelawan bantu mangsa banjiir.
TIDAK mensia-siakan ilmu dipelajari dengan turut serta dalam program sukarelawan bantu mangsa banjiir.
Suliati Asri


KEJADIAN banjir besar yang melanda beberapa negeri pada 18 Disember lalu memberi impak besar buat mangsa yang dilanda bencana berkenaan.

Bayangkan saja, rumah yang didiami ditenggelami air dan pelbagai barangan serta dokumen tidak dapat diselamatkan. Lebih memilukan, ada rumah yang roboh dan hilang dibawa arus air yang deras.

Apabila air banjir sudah surut, rumah bersalut lumpur, peralatan elektrik dan elektronik, perabot dan perkakasan rumah rosak selain kain baju dipenuhi selut. Kerja mengemas pastinya mengambil masa lama dan sangat memenatkan.

Terkenal dengan sikap prihatin, rakyat Malaysia tidak hanya duduk diam. Tidak hanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berwajib, malah rakyat biasa juga menggerakkan kerja sukarelawan untuk membantu.

Pelajar program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga tidak mensia-siakan ilmu yang dipelajari dengan turut serta dalam program sukarelawan.

Tidak hanya membersihkan rumah, mereka juga membantu membaik pulih pendawaian elektrik rumah, membantu membaik pulih kerosakan kecil kenderaan, peralatan elektrik dan elektronik serta kerja selenggara perlindungan kerosakan.

PELAJAR membuka bahagian motor kipas dan mengeringkannya sebelum membaiki kerosakan.
PELAJAR membuka bahagian motor kipas dan mengeringkannya sebelum membaiki kerosakan.

Menerusi bantuan yang ditawarkan itu, mereka bukan saja dapat menyumbang bakti kepada masyarakat, tetapi berpeluang mengasah kemahiran dan mengadaptasi segala ilmu yang dipelajari.

Pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik (domestik dan industri) di Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru, Syed Muhammad Hafiz Syed Habib, 21, berkata, sebagai rakyat Malaysia, dia juga ingin menyumbang dalam membantu mangsa banjir dengan kemahiran yang dipelajarinya.

Menurutnya, melihat kepada keadaan banjir yang melanda dan kerosakan harta benda dialami mangsa, dia mengambil peluang menyertai program sukarelawan anjuran IKM Johor Bahru untuk turut sama menyumbang bakti.

"Sebagai pelajar, saya tidak punya wang ringgit untuk membantu mereka yang terkesan, tetapi mempunyai tenaga dan sedikit ilmu yang dipelajari.

"Justeru, menjadi sukarelawan adalah cara terbaik untuk saya membantu, sekali gus dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari lebih-lebih lagi kebanyakan kerja membaik pulih berkaitan kursus yang diambil. Jadi, ini masa paling sesuai untuk mempraktikkan ilmu yang ada," katanya.

SYED Muhammad Hafiz melalukan pendawaian elektrik di bahagian siling rumah.
SYED Muhammad Hafiz melalukan pendawaian elektrik di bahagian siling rumah.

PELAJAR membaiki kipas.
PELAJAR membaiki kipas.

Syed Muhammad Hafiz juga antara 23 pelajar IKM Johor Bahru turut serta dalam misi bantuan di Kampung Chegar Medang dan Kampung Karak Setia, Bentong, Pahang.

Diketuai Penyelaras Unit Khidmat Masyarakat IKM Johor Bharu, Shamshul Annuar Ruslan, misi tiga hari itu juga disertai 16 pensyarah dan kakitangan institusi itu.

Syed Muhammad Hafiz berkata, selain membantu membersihkan rumah, mereka juga melakukan pendawaian elektrik dan pembaikan barangan elektrik.

"Kebanyakan rumah di dua kampung ini berlumpur. Jadi, kerja yang kami lakukan termasuk membuang lumpur yang keras dan membaiki bumbung rumah yang rosak.

"Menerusi ilmu kemahiran yang dipelajari, kami juga memeriksa pendawaian elektrik, soket dan membaiki barangan elektrik seperti kipas, pendingin hawa dan banyak lagi yang masih boleh diperbaiki," katanya.

Misi bantuan banjir sememangnya memberikan sedikit keletihan, tetapi pengalaman, ilmu baharu dan nilai murni yang diperoleh cukup berharga.

Kata Syed Muhammad Hafiz, walaupun kali pertama turut sama dalam misi terbabit, banyak kenangan manis yang diperoleh dan antara yang tidak dapat dilupakan adalah senyuman gembira tuan rumah.

PELAJAR Kolej Komuniti Bukit Beruang memperbaiki kereta yang ditenggelami air.
PELAJAR Kolej Komuniti Bukit Beruang memperbaiki kereta yang ditenggelami air.

Sebagai pelajar TVET, dia bersyukur kerana walaupun belum menghabiskan pengajian, dia boleh mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari membantu mereka yang dalam musibah.

Katanya, ilmu kemahiran beri banyak kelebihan kepada pelajar dan ia sangat berguna serta boleh dimanfaat dalam kehidupan seharian.

"Sebagai pelajar yang belum menamatkan pengajian, kami sudah berpeluang melakukan pendawaian elektrik di lapangan.

"Hasilnya tidak secantik mereka yang berpengalaman, tetapi pada asasnya

kami sudah boleh membaiki sesuatu peralatan, menyelesaikan permasalahan berkaitan pendawaian atau peralatan elektrik dan paling 'mahal' adalah ilmu tambahan yang tidak diperoleh di bilik kuliah," katanya.

"Dalam apa juga keadaan, ilmu kemahiran sememangnya sangat berguna dan unik.

Kami boleh mempraktikkan ilmu yang dipelajari dengan perkara lain menggunakan teknik yang sama," tambahnya.

Sementara itu, bagi pelajar kursus Sijil Servis Kenderaan Ringan Kolej Komuniti Bukit Beruang, Muhammad Irfan Mohamad Nazri, dia bersyukur kerana dengan sedikit kemahiran yang dimiliki, ia mampu membantu membaiki kereta mangsa banjir yang terkesan.

Katanya, keadaan banjir yang teruk di sekitar Shah Alam dan Sepang, Selangor mengakibatkan banyak kerosakan termasuk kereta.

MUHAMMAD Irfan (tiga dari kiri) bersama rakan dan pensyarah selepas selesai membaiki kereta yang ditenggelami banjir.
MUHAMMAD Irfan (tiga dari kiri) bersama rakan dan pensyarah selepas selesai membaiki kereta yang ditenggelami banjir.

"Kalau dilihat pada keadaan banjir, kereta tidak hanya dimasuki air, tetapi ada yang tenggelam dan dibawa arus air banjir yang deras. Dengan keadaan demikian, kereta itu pastinya mengalami kerosakan yang teruk.

"Jadi, dengan sedikit ilmu yang ada, saya menyertai misi, sekali gus dapat membantu pemilik membaiki kereta mereka bersama pensyarah dan rakan-rakan yang lain,' katanya.

Sebagai pelajar kemahiran berkaitan servis kenderaan ringan, mengikuti misi itu bukan saja dapat menyumbang bakti kepada masyarakat, tetapi membolehkannya menambah pengetahuan dan tunjuk ajar dari pensyarah.

"Sepanjang pengajian, tidak ada silibus berkaitan pembaikan kereta yang ditenggelami air banjir. Jadi, dalam misi ini, saya banyak mendapat ilmu tambahan yang diperoleh.

"Saya juga bersyukur kerana dengan sedikit kemahiran yang ada ini ia dapat membantu mangsa banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 11:48 AM