JACQUELINE enggan dikenali aktres simbol seks dengan menolak tawaran filem dirasakan tidak sesuai dengannya.
JACQUELINE enggan dikenali aktres simbol seks dengan menolak tawaran filem dirasakan tidak sesuai dengannya.
Susunan Nor Akmar Samudin


“Saya amat terhutang budi dengan Salman,” kata model dan pelakon Sri Lanka, Jacqueline Fernandez yang kini mula mengecapi populariti dalam industri filem Bollywood.

Namanya makin dikenali selepas membintangi filem Kick bersama aktor terkenal Bollywood itu tahun lalu apabila filem berkenaan mencatat kutipan ‘box office’.

“Berlakon di samping Salman benar-benar menukar saya menjadi bintang di Bollywood. Dengan sokongan dan tunjuk ajarnya saya semakin yakin dalam lakonan,” kata bekas Miss Sri Lanka Universe pada 2006 itu.

Jacqueline berkata, filem Kick menjadi penanda aras untuk dia lebih berjaya di Bollywood.

“Ketika di lokasi filem itu, saya selalu minta pendapat Salman dan dia tidak lokek berkongsi pengalaman dan ilmu lakonannya dengan saya,” katanya.

Dilahirkan di Bahrain pada 11 Ogos 1985 dan dibesarkan di Sri Lanka, Jacque­line menyertai dunia peragaan sehingga dia memenangi Miss Sri Lanka Universe pada 2006.

Sejak berusia lapan tahun, Jacqueline sudah minat berlakon. Pada usia baru menjangkau 14 tahun dia menjadi pengacara program TV di Sri Lanka.

Dia kemudian melanjutan pengajian di Australia dalam jurusan komunikasi dan sekembalinya ke Sri Lanka, Jacqueline bekerja sebagai wartawan politik.

Namun, minatnya terhadap dunia seni membuatkan dia sanggup beralih arah apabila pada 2009 buat kali pertama berlakon dalam muzik video di Sri Lanka.

Pada tahun yang sama juga Jacqueline berlakon dalm filem Aladin di Bollywood di samping aktor Ritiesh Deskmukh.

Selepas itu dia terus me­ngorak langkah dengan membintangi filem Murder 2, Housefull 2 and Race 2.

Dia yang enggan dikenali sebagai aktres simbol seks terpaksa menolak beberapa tawaran filem yang dirasa tidak sesuai dengan dirinya.

Walaupun sudah berlakon empat filem, namanya masih kurang dikenali ramai sehinggalah dia berlakon di samping Salman dalam filem Kick yang berjaya menjadi filem ‘box office’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 5:01 AM