Fauzi (lima dari kanan) bersama anggota jawatankuasa WHAM, Pengarah FFM30, Khalid Moulod (enam dari kanan) dan Ketua Penolong Pengarah, Unit Komunikasi Korporat Finas, Syimir Alfi (kiri).
Fauzi (lima dari kanan) bersama anggota jawatankuasa WHAM, Pengarah FFM30, Khalid Moulod (enam dari kanan) dan Ketua Penolong Pengarah, Unit Komunikasi Korporat Finas, Syimir Alfi (kiri).
Sudirman Mohd Tahir


KETUA Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Fauzi Ayob menggesa penerbit filem tempatan memeriahkan penganjuran Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM 30) yang bakal berlangsung 8 Disember ini.

Fauzi berkata, FFM kali ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan banyak filem ‘box office’.

"Kalau ikutkan FFM berlangsung bulan ini namun terpaksa ditunda kepada Disember. Sebab utama adalah lanjutan daripada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dan peralihan kerajaan.

"Apa yang pasti, penganjuran kali ini lebih hangat kerana bukan saja sempena tiga dekad FFM tetapi juga meraikan kejayaan beberapa filem box office.

"Dalam beberapa bulan ini, kita tidak menjangka dua filem iaitu Hantu Kak Limah dan Munafik 2 mencatat kutipan luar biasa sekali gus ia mengangkat perkembangan industri filem kita. Jadi saya menggesa semua pihak dapat meraikannya bersama-sama sebagai tanda sokongan atas pencapaian industri perfilem pada tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.

Fauzi ditemui di pejabatnya sempena kunjungan hormat anggota jawatankuasa baru, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) berkata, 2018 menyaksikan satu titiik permulaan kebangkitan filem Melayu apabila kutipannya agak luar biasa.

Menurut Fauzi sehingga Jun lalu, bilangan penonton menyaksikan filem tempatan mencatatkan jumlah 31.12 juta orang dan ia terus menunjukan peningkatan bagi suku ketiga tahun ini.

“Lebih kurang 40 buah filem bakal menyertai festival kali ini dan penyertaannya dibuka bagi karya yang ditayangkan penghujung Ogos 2017 sehingga akhir 2018.

“Kelainan sempena tiga dekad FFM juga adalah pembabitan artis antarabangsa yang akan membuat persembahan selain beberapa aktiviti berkaitan kesenian yang akan dilaksanakan,” katanya.

FFM30 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Turut hadir pada kunjungan hormat itu adalah Presiden WHAM Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin dan beberapa anggota jawatan kuasa lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 6:31 PM