GYAN (kanan) pimpin Ghana.
GYAN (kanan) pimpin Ghana.

BATA, Equatorial Guinea: Ghana dan Ivory Coast masih mampu mengalihkan tumpuan peminat yang kini terarah kepada isu keganasan yang berlaku baru-baru ini apabila kedua-duanya bersaing di final Piala Negara Afrika, awal pagi esok.

Kemenangan 3-0 Ghana di separuh akhir ke atas tuan rumah Equatorial Guinea di Malabo, Khamis lalu dicemari isu keganasan yang menyaksikan 36 penyokong cedera termasuk seorang parah.

Perlawanan itu tertangguh selama lebih 30 minit apabila pelbagai objek dibaling ke arah pasukan, pegawai dan peminat lawan gara-gara marah dengan kekalahan pasukan mereka.

Ghana dan Ivory Coast mencatat keputusan agak serupa sebelum ke final apabila kedua-duanya memulakan aksi dengan perlahan dalam usaha mengubati luka di kempen Piala Dunia 2014.

Ivory Coast mengharungi kelayakan Piala Negara Afrika tanpa khidmat pemain bintang Didier Drogba yang memilih untuk bersara.

Percaturan Renard dilihat menjadi selepas menang 3-1 di separuh akhir ke atas Republik Demokratik Congo dan beliau menggandingkan Wilfried Bony dengan Gervinho sambil dibantu pemain tengah Yaya Toure.

Kempen Ghana di Piala Dunia pula dicemari isu wang dan masalah mereka di Brazil diburukkan lagi apabila dua pemain senior Sulley Muntari dan Kevin-Prince Boateng dipecat gara-gara masalah disiplin.

“Kami berhutang sesuatu dengan peminat dan kami berusaha keras untuk mengembalikan keyakinan mereka,” kata kapten Asamoah Gyan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:30 AM