ZULKIFLI ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena di sini hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
ZULKIFLI ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena di sini hari ini. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan perubahan yang akan berlaku semasa musim haji berikutan konflik di Timur Tengah ketika ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, berkata ketika ini pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) sudah berada di landasan yang betul kerana mempunyai sistem sokongan menyeluruh dan kukuh untuk memastikan jemaah dapat menunaikan haji dengan selamat dan sempurna.

"Kita tak boleh nafikan (konflik Timur Tengah) ada yang mempengaruhi.

"Namun, selepas apa yang diumumkan oleh Menteri (Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar) sebelum ini bahawa kita 'on the track', maknanya kita akan teruskan dengan apa yang ada dan kita sentiasa bersedia dengan apa-apa perubahan.

"TH mempunyai sistem sokongan yang menyeluruh dan kukuh, jadi apa yang terjadi insya-Allah kita sudah bersedia.

"Ini adalah antara kelebihan TH yang mempunyai keseluruhan ekosistem pengurusan haji terbaik dan sentiasa menjadi rujukan dunia serta diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Mahabbah Aidilfitri di Maahad Tarbiyah Islamiah Derang, Pokok Sena di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, jemaah haji dinasihatkan untuk tidak bimbang dengan keselamatan mereka ketika menunaikan ibadah haji susulan konflik di Timur Tengah ketika ini.

Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dipetik, berkata sudah semestinya menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi untuk memberi tumpuan terutama daripada aspek keselamatan jemaah haji bagi membolehkan mereka melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata TH akan memberi maklumat terkini dari semasa ke semasa sekiranya berlaku sebarang perubahan.

Katanya, penerbangan pertama rakyat Malaysia untuk menunaikan haji adalah pada Mei ini dan jemaah kini sedang melakukan persiapan termasuk mengikuti kursus haji di seluruh negara.

Sementara itu, mengulas mengenai tempoh yang ditetapkan TH untuk jemaah haji berada di Tanah Suci sama ada 30 atau 40 hari, beliau berkata beliau perlu merujuk kepada TH terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat yang tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 5:28 PM