BEBERAPA perlawanan pramusim membabitkan pasukan Liga M akan digunakan bagi menguji VAR. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Malaysia
BEBERAPA perlawanan pramusim membabitkan pasukan Liga M akan digunakan bagi menguji VAR. FOTO Ihsan Liga Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemain Liga Malaysia (Liga M) tidak lagi boleh melakukan perbuatan 'nakal' mereka sewenang-wenangnya di atas padang bagi mengelak dikenakan tindakan menerusi video bantuan pengadil (VAR).

Kapten pasukan Negeri Sembilan FC, Nasrullah Haniff mengakui teknologi VAR menjadi perkara baharu buat pemain Liga M kerana ia kali pertama akan dilaksanakan pada musim ini.

Dia bagaimanapun percaya pelaksanaan teknologi itu mampu menambah baik mutu pengadilan terutama dalam membantu pengadil membuat keputusan lebih tepat.

"Kita tahu dengan adanya VAR kita kena sentiasa berhati-hati yang mana apabila di dalam kotak penalti ia boleh menyumbang kepada pemberian sepakan penalti.

"Pengadil pun akan berpandukan kepada VAR, jadi saya harap pasukan Negeri Sembilan akan bersedia mengharungi perlawanan dengan VAR untuk musim ini," katanya.

Beberapa perlawanan pramusim membabitkan pasukan Liga M akan digunakan bagi menguji VAR dengan teknologi itu sudah diuji ketika aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan antara Kuala Lumpur (KL) City menentang Negeri Sembilan serta pertembungan Kelantan Darul Naim dan Sri Pahang sebelum ini.

Dalam dua aksi itu menyaksikan pemain KL City, Brendan Gan dan tonggak Sri Pahang, Manuel Hidalgo menjadi mangsa VAR apabila mereka dilayangkan kad merah selepas pengadil meneliti teknologi itu.

Terdapat jangkaan awal bahawa saingan Liga M musim ini akan berlaku lambakan layangan kad sekiranya pemain tidak berhati-hati dalam melakukan sebarang tindakan di atas padang.

Sementara itu, pemain KL City, Zhafri Yahya turut senada dengan Nasrullah yang mana semua pemain harus mengelak melakukan tindakan yang boleh mengundang hukuman daripada pengadil kerana pergerakan mereka akan dirakam VAR.

"Setiap tindakan pemain boleh dikenal pasti kerana apa (insiden) yang pengadil tak nampak, mereka boleh lihat semula (melalui VAR). Bagi saya keputusan dari penggunaan VAR ini sangat positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 4:43 PM