Malabo, Equatorial Guinea: Bintang Liga Perdana, Christian Atsu dan Wilfried Bony kedua-duanya menyumbat dua gol awal pagi semalam bagi membantu Ghana dan Ivory Coast melengkapkan pasukan ke separuh akhir Piala Negara Afrika.

Atsu menjaringkan dua gol ketika Ghana menang 3-0 ke atas Guinea sebelum Bony menyempurnakan dua gol tandukan apabila Ivory Coast mengatasi Algeria 3-1 di Stadium Malabo.

The Elephants cuba membalas dendam kekalahan dramatik kepada Algeria selepas masa tambahan pada peringkat sama kejohanan 2010 di Angola dan selepas tandukan Serge Aurier terkena palang, mereka membuka tirai jaringan.

Max-Alain Gradel melakukan hantaran silang dari sebelah kanan ke penjuru gol dan Bony mudah menanduk masuk gol pertamanya pada kejohanan itu sebelum Algeria menyamakan kedudukan enam minit selepas rehat menerusi Hilai Soudani.

Bagaimanapun, Bony menanduk masuk sepakan percuma rakan sepasukan barunya di City, Yaya Toure untuk meletakkan Ivory Coast kembali di depan manakala Gervinho menjaringkan gol ketiga pada masa kecederaan.

“Saya fikir kami sudah menundukkan pasukan terbaik pada kejohanan ini,” ujar jurulatih Ivory Coast Herve Renard.

“Dari segi bola sepak dan kawalan bola mereka lebih bagus, tapi kami mengatasi mereka dengan pemain seperti Gradel, Gervinho dan Bony.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:17 AM