PEMAIN Ivory Coast meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan menentang DR Congo.  FOTO AFP
PEMAIN Ivory Coast meraikan kemenangan selepas tamat perlawanan menentang DR Congo. FOTO AFP
Reuters

Abidjan: Ivory Coast menamatkan badi dua dekad negara penganjur di Piala Negara-Negara Afrika selepas muncul pasukan tuan rumah pertama mara ke final sejak Mesir pada 2006.

Ia antara catatan pelik di kejohanan Afrika menyaksikan tuan rumah bergelut mencapai kejayaan walaupun memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri.

Ivory Coast menewaskan Republik Demokratik Congo 1-0 dalam aksi separuh akhir semalam dan mara ke final berdepan Nigeria untuk menentukan juara pada awal pagi Isnin ini sekali gus berpeluang membuktikan pelaburan lebih AS$1 bilion (RM4.7 bilion) ke atas stadium dan infrastruktur lain di negara itu berbaloi.

Lapan pasukan tuan rumah terakhir kejohanan dua tahun sekali itu gagal menjulang kejuaraan dengan tiada yang mara ke final sejak 2006.

Ghana pada 2008, Equatorial Guinea (2015) dan Cameroon dua tahun lalu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir tetapi tewas tanpa menjaringkan gol dalam aksi empat terakhir.

Gabon pada 2017 turut gagal melepasi peringkat kumpulan sekali gus bagaikan satu 'sumpahan' kejohanan dan Ivory Coast tampak menerima nasib sama apabila mereka dimalukan Equatorial Guinea tetapi bernasib baik ke peringkat kalah mati sebagai pasukan terakhir tempat ketiga terbaik.

Mereka yang sebelum ini diejek penonton sendiri bangkit dengan prestasi terpuji ketika menewaskan Congo sekali gus memulihkan semula keyakinan penyokong menjelang final menentang Nigeria.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 9:32 AM