GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Bernama-Xinhua

New Delhi: Kira-kira 95 kanak-kanak berumur antara empat dan 12 tahun diselamatkan di negeri Uttar Pradesh di utara India ketika mereka diperdagangkan secara haram dari Bihar, kata seorang pegawai tempatan pada Sabtu.

Kanak-kanak itu dilaporkan telah diperdagangkan di dalam bas tanpa kebenaran ibu bapa mereka. Pegawai Suruhanjaya Kanak-kanak Uttar Pradesh menyelamatkan kanak-kanak itu selepas mendapat maklumat mengenai pemerdagangan haram itu, lapor Xinhua.

Operasi menyelamat dilakukan di kawasan Gorakhpur di Uttar Pradesh pada Jumaat. Bas itu dikatakan bergerak menuju ke kawasan Saharanpur di Uttar Pradesh.

"Semua 95 kanak-kanak yang diselamatkan berumur antara empat hingga 12 tahun. Kebanyakan mereka memberitahu kami bahawa mereka tidak tahu ke mana mereka dibawa. Ibu bapa mereka sedang dihubungi, dan kanak-kanak itu akan segera diserahkan kepada mereka sebaik tiba," kata pegawai jawatankuasa kebajikan kanak-kanak tempatan Sarvesh Awasthi yang dipetik oleh akhbar The Times of India.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 5:39 PM