NAHAS membabitkan lori dan treler di Kilometer 193.5 yang meragut nyawa kelindan lori. FOTO Ihsan IPD Alor Gajah.
NAHAS membabitkan lori dan treler di Kilometer 193.5 yang meragut nyawa kelindan lori. FOTO Ihsan IPD Alor Gajah.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Kelindan terbunuh manakala pemandu cedera selepas lori dinaikinya mereka merempuh treler rosak di Kilometer 195.3, Lebuh Raya Utara Selatan, arah selatan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, nahas berlaku kira-kira jam 6 pagi dan kedua-dua kenderaan berat itu dalam perjalanan menghala ke Johor.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika treler membawa muatan gula dari dari Alor Setar, Kedah menghala ke Batu Pahat, Johor itu berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan pada enjin.

"Tidak lama selepas itu datang sebuah lori yang membawa muatan plastik merempuh belakang sebelah kanan treler berkenaan mengakibatkan kelindan, Muhamad Yusry Azman, 23, parah dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Klinik Kesihatan Durian Tunggal.

"Pemandu lori berusia 23 tahun pula cedera ringan dan kini dirawat di zon hijau Hospital Jasin, manakala pemandu treler berusia 33 tahun tidak cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

"Setakat ini kenderaan terbabit ditahan untuk dibawa menjalani pemeriksaan di Puspakom dan pemandu treler turut diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 5:04 PM