LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Rasa rindu terhadap sepupu yang hadir di dalam fikirannya secara tiba-tiba menjadi petanda lelaki itu akan pergi buat selama-lamanya.

Perkara itu dikongsi Ahmad Nazirul Mohd Nazar, 39, mengenai sepupunya, Mohd Haziq Ramli yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 98.6 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Temerloh, Pahang, semalam.

Mangsa yang juga pemuzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusia 34 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal Suzuki GSX-R1000 ditunggang merempuh belakang sebuah pikap yang berhenti secara mengejut, selepas pemandunya cuba mengelak seorang wanita melintas lebuh raya.

Menurut Ahmad Nazirul, khabar duka dan mengejutkan itu diterima daripada adiknya menerusi panggilan telefon kira-kira 7.30 malam.

"Saya terkejut apabila diberitahu Haziq sudah tiada lalu saya menghubungi bapa saudara iaitu bapa Haziq untuk kesahihan sebelum mengesahkannya.

"Beberapa jam sebelum kejadian ketika menunggu solat Jumaat, saya secara tiba-tiba rindukan Haziq selepas terlihat hantarannya di Facebook.

"Ketika itu saya terdetik untuk menelefon dan bertanya khabar kerana kami tidak berpeluang bertemu Aidilfitri lalu kerana dia menyambutnya di kampung mentua," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ahmad Nazirul berkata, selain keluarga arwah, dia turut terkesan dengan kehilangan sepupunya yang paling rapat sejak kecil dan disifatkan sebagai orang yang ceria serta peramah.

Katanya, Haziq amat meminati bidang muzik sejak kecil dan dia pernah mendorong untuk aktif dengan sering membawa sepupunya itu mengikuti persembahan muzik.

Dia reda dengan pemergian arwah dan turut membantu menguruskan jenazah di Hospital Temerloh sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, Kuantan, Pahang, petang ini.

Arwah meninggalkan seorang balu dan tiga anak berusia antara enam hingga 10 tahun.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, pemuzik DBKL yang menunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kemalangan selepas motosikalnya merempuh belakang sebuah pikap yang berhenti secara mengejut, selepas pemandunya cuba mengelak seorang wanita melintas lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mazlan Hassan dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca apabila seorang wanita berusia 35 tahun yang memandu sebuah jip berhenti di tepi jalan dan melintas dari sebelah kiri ke kanan jalan.

Beliau dipetik berkata, akibat perlakuan wanita itu, sebuah pikap membrek secara mengejut dan dalam masa sama datang sebuah motosikal dari arah belakang terus merempuh bahagian belakang pikap terbabit.


Wanita lintas jalan sehingga akibatkan kemalangan direman


Kerana wanita melintas, penunggang motosikal berkuasa tinggi maut

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 5:40 PM