Seechurn (kiri) diserbu pemain Tunisia.
Seechurn (kiri) diserbu pemain Tunisia.

Bata, Equatorial Guinea: CAF menggantung pengadil Mauritius, Rajindraparsad Seechurn enam bulan dan mendenda Tunisia AS$50,000 (RM177,000) kelmarin selepas perlawanan suku akhir Piala Negara Afrika penuh kontroversi di Equatorial Guinea.

Tuan rumah menyamakan kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti meragukan sebelum menang mengejut 2-1 ke atas Tunisia di Bata, Sabtu lalu.

Apabila wisel penamat ditiup, polis antirusuhan terpaksa bergegas mengawal pegawai perlawanan daripada diserbu pemain Tunisia.

Menurut kenyataan Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF), tuan rumah Equatorial Guinea didenda AS$5,000 (RM17,700) kerana memasuki padang dan memberi amaran keselamatan mesti diperketatkan di gelanggang perlawanan menjelang separuh akhir.

Ivory Coast berdepan DR Congo pada separuh akhir pertama di Bata awal pagi tadi manakala Equatorial Guinea bertemu Ghana di Malabo, awal pagi esok.

Jawatankuasa pengadil CAF kesal dengan prestasi buruk Seechurn pada suku akhir.

Pengadil dari Mauritius itu dihantar pulang dari Equatorial Guinea dan digugurkan daripada panel elit pengadil CAF.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 6:38 AM