JIN Wei akan turun mengalas tugas selaku pemain perseorangan wanita pertama. FOTO Bernama
JIN Wei akan turun mengalas tugas selaku pemain perseorangan wanita pertama. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Turun dengan status bukan pilihan, skuad Piala Uber negara menyedari mereka bakal berdepan perlawanan penting dalam misi hidup mati di kejohanan itu menentang Taiwan dalam aksi pertama Kumpulan B.

Diundi dalam kumpulan B yang turut dianggotai pasukan terkuat, Thailand serta Australia, pasukan wanita yang diketuai kapten, Teoh Mei Xing dilihat berdepan laluan berliku.

Pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei akan turun mengalas tugas selaku pemain perseorangan wanita pertama berdepan tugas getir apabila perlu menundukkan perseorangan nombor lima dunia, Tai Tzu Ying.

Jurulatih perseorangan wanita, K Yogendran mengakui perlawanan pertama itu amat penting buat skuad Piala Uber.

"Bagi saya, menentang Taiwan amat penting buat skuad wanita kerana menentang Thailand amat sukar. Ia macam misi hidup mati buat skuad negara.

"Thailand mempunyai tiga perseorangan yang kuat berbanding Taiwan hanya Tzu Ying yang terlalu dominan.

"Sukar untuk mendapatkan kemenangan dari Thailand jadi kita perlu menang ke atas Taiwan dan pasukan juga wajib menang ke atas Australia," kata Yogendran.

Sementara itu, pemain beregu wanita, Tan Zhing Yi tetap menaruh kepercayaan terhadap rakan sepasukan untuk melakar kejutan menewaskan Taiwan biarpun atas kertas Malaysia sukar melakukannya.

"Harapan kami sekarang adalah untuk cuba melakar kejutan ke atas pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi. Semangat pasukan berada berada dalam keadaan baik dan kami juga tidak berada dalam tekanan," ujarnya.

Selepas aksi bertemu Taiwan, Malaysia sekali lagi akan berdepan cabaran sukar menentang naib juara 2018, Thailand esok sebelum menentang Australia bagi aksi terakhir peringkat kumpulan 1 Mei nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 4:51 PM