PUSAT Penamaan Calon bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. FOTO Bernama
PUSAT Penamaan Calon bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. FOTO Bernama
BERNAMA

Hulu Selangor: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman serta menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja selain tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan undang-undang lain.

"SPR berharap aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga tertakluk kepada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti serta gambar pemimpin parti gabungan/komponen.

"Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen/gabungan/pakatan pada bahan kempen pilihan raya," katanya.

– LAGI

PRK KKB-SPR 2 (AKHIR) HULU SELANGOR

Selepas pengisytiharan nama-nama calon yang akan bertanding dalam PRK berkenaan hari ini, masa berkempen kini bermula sehingga 11.59 malam, 10 Mei depan.

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao yang mewakili Pakatan Harapan, pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional, Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.

Saingan 4 penjuru di PRK Kuala Kubu Baharu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 5:06 PM