OUATTARA bersama barisan pemain  memperagakan Piala Negara Afrika.
OUATTARA bersama barisan pemain memperagakan Piala Negara Afrika.

Abidjan: Presiden Ivory Coast Alassane Ouattara menganugerahkan bonus lebih €3 juta (RM12 juta) kepada barisan pemenang Piala Negara Afrika 2015, umum Kementerian Sukan kelmarin.

Negara barat Afrika itu mengatasi Ghana 9-8 menerusi penentuan penalti selepas seri tanpa jaringan pada akhir masa tambahan di Equatorial Guinea untuk menjulang kejuaraan kedua selepas 1992.

Jurulatih Herve Renard dijemput ke istana presiden kelmarin dengan pengendali dari Perancis itu menerima bonus lebih €114,000 (RM465,000).

Setiap pemain skuad 23 anggota masing-masing menerima sebuah rumah bernilai €46,000 (RM187,000) selain wang tunai dengan jumlah sama, kata Menteri Sukan, Alain Lobognon.

Persekutuan Bolasepak Ivory Coast diberi €380,000 (RM1.5 juta) dengan pegawai teknikal dan kakitangan pentadbiran berkongsi €460,000 (RM1.87 juta).

Keseluruhan skuad turut dianugerah pingat tertinggi National Order.

“Terima kasih kepada anda semua, Ivory Coast sekali lagi bersatu,” kata Ouattara.

“Anda berjaya membentuk skuad mantap dengan satu impian menang dan terus menang. Ia satu peluang menyatukan semula rakyat,” ujarnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 8:18 AM