AKSI  Obiang (kanan) menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Algeria di  Douala.
AKSI Obiang (kanan) menjaringkan gol kemenangan pasukannya ke atas Algeria di Douala.
AFP

Douala: Juara bertahan Algeria dalam situasi bahaya tersingkir awal di Piala Negara Afrika selepas tewas mengejut 0-1 kepada Equatorial Guinea, awal pagi tadi.

Gol Esteban Obiang pada minit ke-70 membolehkan Equatorial Guinea meraih kemenangan dan menamatkan rekod 35 perlawanan tanpa kalah Algeria.

Juara 2019 itu hanya seri 0-0 dengan Sierra Leone dalam aksi pembukaan di Cameroon dan kini wajib menewaskan Ivory Coast pada perlawanan terakhir Kumpulan E Khamis ini jika mahu mara ke peringkat 16 terakhir.

Ivory Coast yang juga juara 2015 seri 2-2 dengan Sierra Leone pada aksi terdahulu. Persaingan peringkat kumpulan kini masih terbuka tetapi Algeria tercorot dengan hanya satu mata.

"Oscar Wilde berkata jika anda idamkan bulan, anda akan tersasar ke bintang. Kami mahu mencipta rekod dunia namun gagal," kata jurulatih Algeria, Djamel Belmadi.

"Rekod tanpa kalah kami masih di atas bersama Itali, Argentina dan Jerman.

"Semua orang bercakap mengenainya tetapi kami kini perlu fokus yang lebih penting, berjuang dan raih slot kelayakan."

Equatorial Guinea pula yang berkedudukan 114 dunia dan tangga ke-28 di Afrika dalam situasi selamat untuk mara ke peringkat kalah mati buat kali ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 8:58 AM