PASUKAN Ivory Coast giat berlatih bagi bertemu Ghana.
PASUKAN Ivory Coast giat berlatih bagi bertemu Ghana.
Reuters

BATA, Equatorial Guinea: Herve Renard yang bakal menerajui Ivory Coast pada final Piala Negara Afrika menentang Ghana awal pagi esok, pernah menjadikan sampah sebagai punca pendapatannya sebelum bergelar antara jurulatih bola sepak yang berjaya.

Pengendali kelahiran Perancis berusia 46 tahun itu yang gemar mengenakan baju-t putih ketat, berpeluang menjadi jurulatih pertama menjulang Piala Negara Afrika bersama dua negara berbeza.

Renard mula dikenali selepas beliau membawa Zambia memenangi kejohanan pada 2012 tetapi namanya tidak pernah disebut-sebut untuk mengendalikan kelab Ligue 1 selain pengurusan badan induk bola sepak negaranya juga hanya memandang sebelah mata kepadanya ketika jawatan pengurus skuad kebangsaan belum diisi.

Bekas pertahanan Cannes itu pernah bertugas dengan syarikat mengutip sampah selain mencuci pejabat di waktu malam sambil berangan-angan mencipta karier dalam bola sepak.

“Saya bukanlah individu yang pernah dipandang tinggi dalam bola sepak,” kata Renard dalam satu temubual sebelum membawa Zambia menang ke atas Ivory Coast di final 2012.

“Saya bekerja dengan sebuah syarikat mengutip sampah selama lapan tahun dan kini saya mengendalikan sebuah pasukan yang layak ke final Piala Negara Afrika. Bola sepak memang ajaib.”

Hubungan rapatnya dengan Claude Le Roy - seorang lagi pengendali Perancis yang berjaya di Afrika - membolehkannya mendapat peluang untuk menjadi pembantu kepada rakannya itu di Ghana.

Peluang pertama Renard muncul apabila ditawarkan mengendalikan kelab Vietnam dan perjalanan hidupnya mula berubah apabila Le Roy mencadangkan namanya untuk membimbing Zambia.

Beliau mula mengambil alih pasukan Zambia pada 2008 dan membawa negara itu ke suku akhir Piala Negara Afrika dua tahun kemudian.

Mereka tersingkir menerusi penentuan penalti di tangan Nigeria tetapi Renard mendapat peluang mengendalikan pasukan kebangsaan Angola.

Beliau tidak berjaya di Angola dan berpindah ke sebuah kelab di Algeria tetapi kembali menerajui Zambia pada penghujung 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:12 AM