PASUKAN Ivory Coast (kanan) sedia hadapi suku akhir saingan Piala Negara-Negara Afrika. FOTO Agensi
PASUKAN Ivory Coast (kanan) sedia hadapi suku akhir saingan Piala Negara-Negara Afrika. FOTO Agensi
Agensi

Abidjan: Kejutan demi kejutan berlaku dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) apabila beberapa pasukan pilihan tersingkir awal dan elemen kejutan dijangka terus berlanjutan di suku akhir bermula awal pagi esok.

Ivory Coast yang juga tuan rumah kejohanan bagi edisi kali ini dijadual menentang Mali biarpun pada satu ketika perjalanan pasukan tuan rumah dilihat agak berliku susulan kekalahan 0-4 kepada Equatorial Guinea.

Begitupun Ivory Coast bangkit membuat kejutan mengenepikan juara bertahan Senegal di pusingan kedua sekaligus menghidupkan harapan penyokong tuan rumah yang mahu melihat pasukan kesayangan menjuarai trofi di halaman sendiri.

Satu lagi pasukan pilihan yang masih kekal dalam saingan adalah Nigeria yang juga bekas juara AFCON sebanyak tiga kali.

Nigeria yang turut menumbangkan Ivory Coast di peringkat kumpulan sebelum ini cukup gah menyingkirkan Cameroon di pusingan kedua.

Afrika Selatan pula akan menentang Cape Verde yang berjaya mengejutkan Ghana di peringkat kumpulan.

Kelapan-lapan pasukan yang mara ke suku akhir di Cameroon pada edisi dua tahun lalu gagal layak ke peringkat sama kali ini, begitu juga lima negara yang mewakili Afrika di Piala Dunia Qatar.

Peringkat separuh akhir akan berlangsung pada Rabu (awal pagi Khamis) manakala final diadakan di Abidjan pada 11 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 12:08 PM