PENGGUNA media sosial perlu buat perkongsian dengan berhemah.
PENGGUNA media sosial perlu buat perkongsian dengan berhemah.

DALAM dua minggu kebelakangan ini, hangat mengenai kisah 'anak tidak sah taraf' yang menjadi topik perbincangan komen netizen selepas perkongsian dibuat di media sosial.

Pertama, pastinya kisah membabitkan pasangan viral (tular) di Kedah yang begitu menjadi perhatian ramai kerana anak mengalami masalah kesihatan namun sebenarnya tiada ikatan sah suami isteri.

Menyorot kepada kisahnya itu, memang terkejut juga menerusi pendedahan dibuat seorang imam di media sosial baru-baru ini terhadap status pasangan terbabit yang difahamkan tidak bernikah lagi (ketika tular).

Sebagai seorang ibu, saya terfikir 'aib'perlu ditanggung anak kecil tidak berdosa itu untuk berhadapan pandangan sinis masyarakat terhadap kesalahan orang tuanya.

Ditambah, melihat kepada komen segelintir netizen di media sosial amat menakutkan yang mana daripada mereka mulanya bersimpati terhadap keluarga itu namun bertukar mengeji dan mengecam.

Tidak hanya kisah itu, pengakuan mengejut seorang bekas pengacara wanita yang juga pernah berlakon drama mengenai statusnya, 'anak tidak sah taraf' kepada penyampai radio popular era 2000, 'meledakkan' industri hiburan.

Ia berikutan kisah anak-beranak itu pernah mendapat perhatian media pada 2022 lalu apabila si bapa dikatakan bijak 'mengunci mulut' selama 27 tahun menyimpan rahsia kewujudan anak perempuan tunggalnya itu.

Namun yang 'kurang manisnya' apabila pendedahan status 'anak tidak sah taraf' dibuat wanita itu melalui hantarannya di media sosial gara-gara difahamkan tidak berpuas hati dengan maklumat sijil kelahiran yang ditukar secara senyap-senyap.

Justeru, sekali lagi mengapa platform media sosial yang dipilih sebagai medium pendedahan untuk perkara berbaur peribadi serta mengaibkan, sekali gus memberi ruang kepada warga netizen berkomentar yang mengeji.

Pendakwah dan penceramah bebas, Imam Muda Hassan Adli Yahaya@ Yahuza, 39, berkata, pengaruh meluas media sosial pada masa kini yang mudah diakses, bersifat terbuka dan bebas berkongsi sememangnya menjadi pilihan ramai.

"Apatah lagi, platform media sosial diperlukan semua orang ketika ini untuk membuat pelbagai perkongsian hantaran. Cuma, nasihat saya agar kita semua menggunakan kemudahan media sosial ini secara berpada-pada.

"Bagaimanapun, di dalam Islam diingatkan tiada dosa 'warisan' iaitu semua kesalahan dosa pernah dibuat ibu bapa terbabit akan ditanggung oleh 'anak tidak sah taraf' berkenaan. Ibu bapa memang berdosa kerana berzina namun anak dilahirkan tidak bersalah.

"Malah, sekiranya 'anak tidak sah taraf' ini mendapat pendidikan agama yang betul daripada penjaganya atau keluarga angkat, dia mungkin mampu menjadi insan lebih baik. Jadi, kita tidak boleh judge sesuka hati kerana Allah saja yang lebih tahu.

"Apa-apa pun, saya harap pihak berkaitan seperti agensi Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) dapat mewujudkan akta yang sesuai terhadap perkongsian hantaran dibuat pengguna media sosial," katanya.

Menurut Hassan, penyelarasan undang-undang sesuai penting dikuatkuasakan agar pengguna media sosial lebih berhemah ketika membuat perkongsian dan pendedahan. Ini untuk mengelak kisah peribadi didedah dengan mudah.

"Perkara aib diri sendiri, ibu bapa, keluarga dan orang lain perlu dijaga, walaupun tindakan yang kita buat itu mungkin bersifat baik. Namun cubalah cari medium lain yang tepat untuk jalan penyelesaian dan bukan pendedahan di media sosial," katanya.

Ujar Hassan lagi, apapun bergantung kepada cara masing-masing menggunakan media sosial. Cuma, diingatkan sentiasa berhati-hatilah dan waspada agar tidak berlaku, 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2024 @ 5:59 AM