GAVIN kini berada di kedudukan ke-19.
GAVIN kini berada di kedudukan ke-19.

Kuala Lumpur: Sensasi negara Gavin Green mempamer aksi konsisten untuk muncul pemain negara terbaik pada hari kedua Kejohanan Maybank.

Bermula pada tengah hari, Gavin mencatat satu bawah par 71 untuk keseluruhan lima bawah par 139.

Dia berkongsi kedudukan ke-19 bersama lapan pesaing lain termasuk pemenang 23 kejuaraan Jelajah Eropah, Lee Westwood.

“Sebenarnya hari ini (semalam) agak sukar. Ada beberapa pukulan putt yang saya tak dapat lakukan dengan baik.

“Sukar untuk saya membaca arah yang tepat. Apapun dapat meraih birdie di lubang ke-18 cukup melegakan.

“Angin kuat pada sembilan lubang terakhir sedikit menjejaskan fokus saya,” katanya.

Gavin meraih empat birdie tetapi dikecewakan dengan tiga bogey di lubang ke-11, 14 dan 15.

Mengenai aksi hari ini, pemain berusia 23 tahun itu berkata, dia hanya mahu lebih tenang.

“Saya perlu lebih bersabar dan cuba beraksi seperti biasa. Sama ada anda berada di kedudukan terbaik atau tidak, anda perlu mempamerkan yang terbaik.

“Agak sukar juga untuk membaca kelajuan di atas green. Bukan saya saja berdepan masalah itu, begitu juga pemain lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 9:15 AM