Bendera Palestin dan Ireland berkibar, selepas Ireland mengumumkan ia mengiktiraf negara Palestin di luar Leinster House di Dublin, Ireland, 28 Mei 2024. FOTO REUTERS
Bendera Palestin dan Ireland berkibar, selepas Ireland mengumumkan ia mengiktiraf negara Palestin di luar Leinster House di Dublin, Ireland, 28 Mei 2024. FOTO REUTERS
Bernama-Wafa

Dublin: Ireland secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin dan menggesa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk mendengar suara masyarakat antarabangsa dan menghentikan malapetaka kemanusiaan di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Langkah itu menyusul selepas Norway dan Sepanyol secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin pada pagi Selasa.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Ireland, Simon Harris, berkata: "Kami ingin mengiktiraf negara Palestin selepas proses damai berakhir, tetapi kami mengambil langkah ini bersama Sepanyol dan Norway untuk menyokong keamanan."

Ketiga-tiga negara Eropah itu mengumumkan langkah berkenaan secara serentak minggu lepas dengan pemimpin mereka menyatakan bahawa mereka berhasrat negara-negara lain akan menyertai inisiatif tersebut, menekankan bahawa ia akan meningkatkan prospek keamanan.

Susulan langkah Sepanyol, Norway dan Ireland, jumlah negara yang mengiktiraf Negara Palestin meningkat kepada 147, daripada 193 negara anggota dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 11:22 PM