Oleh Nur Saliawati Salberi


Shah Alam: Sebanyak 289 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam Ops Bersepadu yang dijalankan di Plaza Tol Batu Tiga, di sini, malam tadi.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 8 malam dan berakhir empat jam kemudian itu membabitkan empat agensi kerajaan yang lain antaranya Jabatan Imigresen Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Selangor Adenan Md Isa berkata, operasi bersepadu itu dijalankan bagi memberi fokus kepada empat kesalahan utama iaitu nombor pendaftaran, cermin gelap, lampu Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) serta lampu 'sportlight'.

"Operasi yang dijalankan ini hanya memberi advokasi kepada pengguna terutamanya pemilik kereta supaya mereka dapat mengambil tindakan segera kerana berkuatkuasa 1 November depan dan JPJ akan mengambil tindakan bagi kesalahan ini, manakala kesalahan bagi cermin gelap pula akan berkuatkuasa pada April 2015.

"Hasil pemeriksaan ke atas 826 kenderaan, sebanyak 481 pemandu kenderaan diberikan nasihat untuk membuat pengubah suaian semula kepada kenderaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan manakala 14 kenderaan pula disita kerana cukai jalan tamat tempoh," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 12:02 PM