FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


SEBANYAK 508 notis dikeluarkan dengan 28 daripadanya membabitkan kesalahan membabitkan penggunaan lampu High Intensity Discharge (HID) dalam operasi khas dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Segambut, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Kuala Lumpur Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, seramai 28 anggota terbabit dalam operasi berkenaan yang bermula 8 malam hingga 12 tengah malam itu.

“Dalam operasi itu, sebanyak 812 kenderaan diperiksa dan 508 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk 28 notis membabitkan kesalahan lampu HID.

“Selain memfokuskan kepada kesalahan penggunaan lampu HID, kami melakukan pemeriksaan bagi nombor plat tidak mengikut spesifikasi dan mengelirukan serta penggunaan cermin gelap tidak mematuhi ketelusan cahaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, objektif operasi khas itu bertujuan menguatkuasakan undang-undang berkaitan larangan penggunaan lampu HID bagi memastikan setiap pengguna mematuhi peraturan dan standard piawaian penggunaan lampu dibenarkan.

“Penggunaan lampu HID tidak mematuhi speksifikasi boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan).

“Penggunaan lampu HID tidak dibenarkan membahayakan pengguna jalan raya lain yang menghadapi kesukaran memandu akibat pencahayaan tinggi dan menyebabkan keadaan silau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2020 @ 9:10 PM