Assalamualaikum pembaca yang disayangi.

Liza kembali minggu ini untuk berkongsi cerita dengan anda semua mengenai rancangan hiburan yang sudah dua dekad mengukuhkan jenamanya di Malaysia iaitu Melodi.

Ahad lalu Liza berkesempatan mengemudikan rancangan yang dihoskan Awal Ashaari sebagai pengacara jemputan dan ia sangat mengujakan Liza. Awal, pengacara yang sangat Liza kagumi dengan kebolehannya mengacarakan pelbagai rancangan TV. Banyak perkara bermain di fikiran Liza sebelum bertemu Awal, tetapi semua itu terhapus selepas bertentang mata dengannya.

Sangat selesa bekerja dengan Awal kerana dia mudah menerima pendapat orang lain, terbuka dan tidak lokek berkongsi idea serta nasihat buat Liza yang baru setahun jagung dalam industri ini.

Sejam tidak terasa mengacarakan rancangan itu bersamanya dan jika diberikan kesempatan sekali lagi untuk muncul di Melodi, ia adalah perkara terbaik yang terjadi kepada Liza.

Semua yang dilalui pada hari ini tidak pernah Liza impikan dengan 20 tahun lalu Liza hanyalah penonton seperti anda menyaksikan pengacara Melodi terdahulu mengacarakan Melodi seperti Datuk Aznil Nawawi, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ziana Zain, Wahid Senario dan Fara Fauzana.

Tiada yang mustahil sekiranya kita yakin dengan kebolehan diri sendiri, semua akan berlaku dan dijalani dengan baik sekali. Setiap hari adalah hari baru untuk Liza belajar dengan setiap orang yang Liza temui. Sebagai contoh, AG penyampai Hot FM juga pernah memberi nasihat kepada Liza dengan menganggap kita adalah budak baru belajar.

Letakkan diri kita serendah-rendahnya walaupun mungkin orang lain menganggap kita sudah berjaya kerana jika kita fikir diri kita hebat, ada orang yang lebih hebat daripada kita.

Nasihat Fara Fauzana yang Liza ingat apabila dia mahu Liza menjadi diri sendiri. Bertahun Fara Fauzana ambil masa untuk berada di tempatnya sekarang, sudah tentu kerja kerasnya yang membawa dia pada tahap sekarang.

Ikhwan pula sering memberi nasihat kepada Liza bahawa setiap apa yang Liza buat perlu ada keyakinan diri dan dia selalu kata ‘Liza boleh’. Begitu juga sokongan daripada Fizie yang sering bertukar pendapat dengan Liza supaya kami masing-masing jadi lebih baik di Hot FM.

Gandingan terbaru Liza di Hot FM jam seperti Haziq dan Deen juga banyak mengajar Liza untuk menjadi seorang yang lebih baik, begitu juga Tun Nadia yang turut berpengalaman dalam dunia pengacaraan berkongsi tip dengan Liza.

Apa yang Liza cuba sampaikan hari ini, kita mesti sentiasa ‘membuka’ diri kita untuk menerima teguran dan kritikan membina untuk belajar. Satu perkara yang Liza rasa sangat bertuah kerana Liza dikelilingi orang-orang yang positif. Ketika Liza ke udara Ahad lalu di Melodi, semua senior banyak memberi sokongan kepada Liza.

Satu perkataan yang Liza boleh katakan waktu itu ialah perasaan terharu. Terima kasih kerana ada bersama Liza pada saat Liza memerlukan anda semua. Biar setinggi mana pun badai menghempas hidup ini, Liza ada anda semua yang menyokong perjuangan seni Liza dan yang menyokong bakat Liza selama ini.

Terima kasih kepada Melodi yang menjemput Liza, terima kasih Awal Ashaari, terima kasih kepada pengurusan Hot FM yang mempercayai Liza di sini dan terima kasih buat AG, Fizie, Fara Fauzana, Haziq, Deen dan Tun Nadia.

Terima kasih juga kepada anda semua.

Jumaat ini Hot FM sudah genap sembilan tahun, penyampai Hot FM silih berganti datang dan pergi, tetapi anda tetap setia bersama kami, terima kasih sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 8:12 AM