LIZA ketika majlis sambutan ulang tahun kesembilan Hot FM, baru-baru ini.
LIZA ketika majlis sambutan ulang tahun kesembilan Hot FM, baru-baru ini.

Assalamualaikum pembaca yang disayangi.

Esok rakan kita yang berbangsa Cina akan menyambut Tahun Baru Cina dan Liza percaya ramai juga antara kita turut mengambil peluang ini bercuti atau pulang menjenguk keluarga di kampung.

Minggu ini juga mungkin minggu paling sukar untuk anda membuat keputusan dalam satu-satu hal.

Ada yang berasakan sudah sampai masanya untuk memulakan perniagaan sendiri dan ada juga yang masih meraba-raba mencari pekerjaan.

Kecewa dan sedih?

Nanti dulu. Pandang sekeliling anda dan perhatikan ramai lagi yang tidak bernasib baik berbanding kita.

Sekadar berkongsi cerita, Liza pada usia 27 tahun masih lagi bertukar-tukar pekerjaan dan tiada pekerjaan tetap. Liza sebenarnya masih keliru dengan apa yang Liza mahu untuk masa depan Liza.

Iyalah, kadang-kadang kita tak bernasib baik seperti orang lain yang mungkin sudah mengumpul aset pada usia begitu sedangkan kita masih terkial-kial mencari arah.

Liza suka membaca kisah kejayaan orang lain kerana ia dapat memberi motivasi kepada kita.

Cari idola yang kisahnya hampir dengan kita dan baca perjalanan hidupnya yang membolehkan beliau berjaya dan paling penting kita bergaul dengan orang yang dahagakan kejayaan lebih daripada yang kita mahukan.

Percayalah, jika sekeliling kita adalah orang yang dahagakan kejayaan seperti ‘puntianak dahagakan darah’, adrenalin kita berbeza.

Jangan terkejut jika orang yang memberi kita semangat untuk berjaya itu bukan dalam kalangan rakan kita.

Cuma teruskan mencari inspirasi dan ilham juga dalam kehidupan seharian kita.

Bagi anda yang sering singgah meluangkan waktu seketika membaca ruangan Liza ini, kita boleh bertemu Sabtu ini di Teluk Kemang, Port Dickson untuk Hot FM Busking Jam.

Ada persembahan daripada Forteen, Caliph Buskers, Mojo dan KRU dan tentunya semua penyampai Hot FM juga akan turut berada di sana.

Jadi tolong sebarkan jemputan ini kepada semua kawan dan ahli keluarga anda dan kita akan bertemu di sana pada jam 8 malam.

Terus dengarkan kami di Hot FM dan Hot TV juga untuk mendapat perkembangan terkini mengenai Hot FM Busking Jam.

Kami di Hot FM tidak sabar untuk bertemu anda dan datang ramai-ramai ye. Jumpa anda di sana.

Bagi yang memandu pulang ke destinasi masing-masing musim cuti ini, Liza doakan perjalanan anda selamat pergi dan selamat pulang.

Berhati-hati di jalan raya. Jumpa lagi minggu depan!

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 11:17 AM