Baru-baru ini, teman SS bengang dengan sikap seorang artis yang cakap tak serupa bikin. Katanya, dia tak tahu kenapa artis itu suka sangat bercerita mengenai peribadi dirinya.

Kalau kisah peribadi itu menjurus pada positif, kata teman SS, dia sedia menjadi pendengar setia. Ini tidak, kisah diceritakan artis itu boleh dianggap mengaibkan diri sendiri.

Cerita teman SS lagi, sudahlah cerita artis itu pernah panas dan hangat satu Malaysia. Jadi, lebih baik saja dia terus menutup mulut daripada terus bercerita.

Ini sebaliknya pula, pantang kena minta komen artis itu beria-ia sangat menceritakan kisah sebenar. Hinggakan kata teman SS, telinganya jadi geli-geleman mendengar cerita disampaikan.

Sebaik-baiknya berpadalah mengatur bicara. Bukan apa, daripada cuba meraih simpati lain pula anggapan orang yang mendengar cerita itu.

SS pun selepas saja mendengar kisah artis itu yang disampaikan teman, apa yang terdetik di fikiran menjelaskan perkara yang berlaku disebabkan maklum balas kedua-dua pihak.

Umpama pepatah, kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Jadi, melihatkan cara dan gaya artis itu pun, firasat SS menjangkakan dia mungkin orang yang sukakan kisah sensasi.

Namun, tepuk dada dan tanya selera. Apa yang pasti, masyarakat sekarang sudah bijak menilai dan semestinya bakat seseorang artis yang diutamakan.

SS: Teruja nak tunggu single pemuzik OKU, Caliph Buskers.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 8:48 AM