Lumrah hidup, setiap yang muda pasti merasai tua sekiranya umur panjang. Begitu juga dengan putaran hidup, tak selamanya kita di atas, begitu juga sebaliknya.

Mungkin buat masa ini kita beroleh kesenangan, tetapi andai kufur nikmat, tidak mustahil esok lusa segala kemewahan boleh hilang sekelip mata.

Apa ingin SS sampaikan ini ada kaitan dengan seorang pelakon wanita popular yang menjadi buruan ramai penerbit. Sejak drama lakonannya meletup, nama pelakon ini melonjak naik sekelip mata.

Mungkin kerana itu, dia bersikap angkuh hingga tidak menghormati senior. Ketika menghadiri sebuah acara berbuka puasa anjuran sebuah stesen TV, dia duduk semeja dengan beberapa artis veteran.

Sepatutnya sebagai pendatang baru, dia pandai bawa diri dan bersalam dengan barisan pelakon yang wujud sejak era filem Tan Sri P Ramlee itu. Namun, jangankan bersalam, bertegur sapa jauh sekali. Nak kata dia tak kenal, mustahil kerana bintang veteran itu popular dan sudah menjayakan banyak drama serta filem. Nak kata rabun, tak logik pula.

Pelakon ini asyik berkepit dengan pelakon lelaki yang menjadi pasangannya dalam drama. Aksi mesra mereka buat orang sekeliling geli-geleman apatah lagi ramai sedia maklum pelakon itu sudah ada kekasih.

SS terkejut dengan sikap pelakon wanita ini. Bukankah dari kecil kita dididik supaya menghormati orang lebih tua? Tak rugi pun kalau praktikkan amalan murni itu.

SS: Selalu terapkan pada anak-anak agar menghormati orang lebih tua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:05 AM