GREATWALL M4 yang dilancarkan di Kawasan Perindustrian Gurun.
GREATWALL M4 yang dilancarkan di Kawasan Perindustrian Gurun.

Gurun: Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (Go Auto), pengeluar kenderaan Great Wall Motor (GWM) menyasarkan mengeluarkan 12,000 unit pelbagai model keluarannya dengan sasaran jualan sebanyak 6,000 unit bagi pasaran tempatan sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman berkata, syarikat turut menyasarkan eksport sebanyak 6,000 unit dan dijangka mampu mencecah 51,000 unit menjelang 2019 dengan menembusi pasaran ke hampir semua negara ASEAN selain di Thailand dan Kemboja yang sudah dipasarkan ketika ini.

Beliau berkata, setakat ini, syarikat berupaya mengeluarkan sebanyak 25,000 unit kereta setahun sejak pengubahsuaian kilang pertamanya di negara ini dibuat pada Jun tahun lalu, selain menambah tiga pusat jualan menjadikan semuanya 27 cawangan di seluruh negara.

“Kilang kedua Go Auto yang terletak di kawasan perindustrian Gurun, dekat sini, membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM250 juta dan ia turut berperanan sebagai pemangkin untuk memantapkan lagi bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap pengeluaran model kenderaan pada masa depan.

“Dengan adanya kilang kedua Go Auto, kita bukan saja dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran tetapi memenuhi permintaan eksport sebanyak 60 peratus manakala 40 peratus lagi pasaran tempatan,” katanya pada majlis pelancaran pembangunan kilang keduanya, kelmarin.

Turut dilancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak terbaru Go Auto, Great Wall Motor (GWM) M4 bagi pasaran di negara ini oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

M4 yang dinobatkan sebagai ‘Autoworld Best Car Of The Year’ menerusi kategori ‘Best Value For Money SUV’ adalah satu daripada empat model kenderaan yang dikeluarkan Go Auto dengan enjin berkapasiti 1.5 liter.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:38 AM