Ahmad Azam (kiri) dan SM Azli melancarkan Haval H1. FOTO Mohd Razlan Salleh
Ahmad Azam (kiri) dan SM Azli melancarkan Haval H1. FOTO Mohd Razlan Salleh
Mohd Razlan Salleh


Shah Alam: Haval M4 kini secara rasmi dikenali sebagai Haval H1 bertujuan melonjakkan reputasi jenama itu di pasaran antarabangsa.

Pertukaran nama dilakukan sebagai langkah strategik penjenamaan semula Haval daripada Great Wall Motors (GWM) selaku pengeluar kenderaan utiliti sukan (SUV) terkemuka dari China dengan hasrat menguasai pasaran antarabangsa terutama ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto Ahmad Azam Sulaiman berkata, penjenamaan semula Haval M4 diharapkan dapat mengukuhkan lagi jenama Haval di pasaran tempatan.

"Kami mahu kekal dengan satu nama iaitu Haval dan mahu jenama ini dikenali ramai. Selepas ini, semua model kami akan diperkenalkan dengan nama Haval.

"Go Auto juga mencatat sejarah dalam industri automotif tempatan apabila menjadi syarikat pertama dianugerahkan lesen pembuatan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV)," katanya ketika melancarkan Haval H1, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Go Auto Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal.

Ahmad Azam berkata, kedua-dua model Haval iaitu H1 dan H2 turut menerima pengiktirafan EEV daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Haval adalah singkatan daripada 'Have All' atau 'Semuanya Ada'.

Haval H1 dijual pada harga RM60,017 (Comfort), RM65,852 (Premium) dan RM72,659 (Elite).

Sementara itu, bermula 1 Januari lalu, Haval memperkenalkan jaminan beli balik dengan tawaran jaminan 50 peratus nilai kenderaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ini bermakna Haval akan membeli semula pada harga 50 peratus daripada harga jualan sekiranya pemilik menjual kenderaan dalam tempoh lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2017 @ 3:44 PM